Khamis, 4 Februari 2016

DRAMA BUKAN GILA - SHARIF SHAARY

SINOPSIS ( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

Drama ini berkisar tentang Azmir yang sedang dirawat di wad sakit jiwa Hospital Besar . Sewaktu di wad tersebut,Azmir telah berkhayal akan kehadiran kekasihnya,iaitu Ani. Azmir telah meminta Ani membawa dia keluar tetapi Ani memberitahu dia bahawa mereka bahagia di tempat itu.
            Kemudian, Azmir berkhayal lagi tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar Azmir tetapi Azmir memanggil Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau sayang akan Azmir tetapi Azmir mengatakan bahawa ayahnya berbohong lalu berlaku pertelingkahan antara Azmir dengan ayahnya sehingga munculnya khayalan tentang Pak Haji datang dan memberikan salam. Azmir bertengkar pula dengan Pak Haji tentang namanya dan sikap manusia yang dikatakan oleh Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain.
            Ani muncul semula. Azmir bertanya tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu, Azmir dan Ani bercakap tentang cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersifat luaran.
            Setelah itu, Azmir dikunjungi oleh doktor. Setelah memeriksa Azmir, doktor membenarkan Azmir bersiar-siar di luar. Kesempatan itu diambil oleh Azmir untuk keluar dari wad Hospital Besar. Akhirnya, Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon drama yang sedang berlatih drama bertajuk Sasau. Azmir mengatakan bahawa pelakon-pelakon drama Sasau itu sesat. Malah, Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem dalam kehidupan, iaitu sistem prorakyat.
            Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem tersebut kepada para pelakon yang berlatih itu, kepalanya berasa sakit. Setelah reda sakitnya, Azmir memberitahu pelakon-pelakon tersebut bahawa syarahanya dan penyakitnya adalah betul. Azmir juga menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan pelakon-pelakon itu bahawa tidak ada yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan kepura-puraan. Azmir juga ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan bahawa bukan gila tetapi suatu penderitaan yang tidak tertanggung. Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah. Azmir menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu adalah bukan kerana gila tetapi akibat menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan tidak terucap dengan kata-kata.
Kemudian,doktor datang dan menjelaskan kedudukan sebenar Azmir. Doktor membawa Azmir pulang ke wad sakit jiwa semula. Setelah itu, keadaan Azmir begitu sejak tingkatan enam dan semakin teruk ketika di universiti. Arif menasihati  ibu bapa Azmir agar bersama-sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa Azmir bahawa Azmir memerlukan kasih sayang, semangat dan perangsang, bukannya cemuhan dan penghinaan. Pelakon II memberitahu ibu bapa Azmir bahawa dia melihat Azmir sedang menghadapi suatu penderitaan yang tidak tertanggung. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar segera mengunjungi Azmir sebelum terlambat.
            Di wad pesakit jiwa, Azmir berkhayal dan mengimbas kembali tentang kisah cintanya dengan Ani dan kisah hidupnya. Ketika dia sedang berkhayal,dia menjadi lemah dan rebah ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad. Kematiannya dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Berita itu membuatkan Ani berasa bersalah dan berasa dirinya bersikap kejam terhadap Azmir.
  
PERWATAKAN
AZMIR
1.         Azmir merupakan watak utama drama.
2.         Dia seorang anak muda .
3.         Azmir menghidap penyakit barah otak.
4.         Dia dikatakan telah mengalami sakit jiwa.
5.         Azmir menerima rawatan sakit jiwa di Hospital Besar.

ARIF
1.         Dia merupakan pengarah drama Sasau.
2.         Arif prihatin terhadap keadaan Azmir.
3.         Arif telah menasihati ibu Azmir berkaitan dengan kasih sayang ibu terhadap        anaknya.
4.         Dia seorang yang berjiwa besar,iaitu sanggup belajar daripada Azmir untuk          membantunnya membikin drama Sasau.

DOKTOR RAZI
1.         Beliau merawat Azmir yang dikatakan menghidap sakit jiwa.
2.         Doktor Razi tidak memahami penyakit yang dialami oleh Azmir.
3.         Doktor Razi bersikap baik terhadap Azmir kerana telah membenarkan Azmir       bersiar-siar.

IBU AZMIR
1.         Beliau telah mengesan sikap gila-gila Azmir sejak anaknya itu di tingkatan enam.
2.         Beliau tidak mampu mengurus Azmir.
3.         Ibu yang tidak menjaga anaknya kerana Azmir lebih suka tinggal di rumah neneknya.
4.         Ibu yang berasa malu dengan sikap anaknya yang gila-gila.

  
NILAI
1.         Nilai keprihatinan.
            Contohnya, Arif prihatin akan kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh   Azmir.             Arif juga memahami bahawa Azmir tidak gila.
2.         Nilai kesetiaan.
            Contohnya, Azmir setia dengan cintanya terhadap Ani sehingga dia         terbayang-bayang       Ani datang kepadanya walaupun hakikatnya, Ani telah meninggalkannya.
3.         Nilai baik hati.
            Contohnya, doktor bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya dengan mencari       dan membawa Azmir ke wad pesakit jiwa semula.
4.         Nilai menghargai.
            Contohnya, Azmir menghargai petani, nelayan dan buruh yang telah menyumbang          demi kesejahteraan hidup orang lain.
5.         Nilai kasih sayang.
            Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir yang dirawat di wad pesakit jiwa.

  
PENGAJARAN
1.         Kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat        membantu mereka.
            Contohnya, Arif prihatin terhadap nasib Azmir dan telah menasihati ibu Azmir agar        segera melawat Azmir di wad pesakit jiwa sebelum terlambat.
2.         Kita hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan     khianat.          
            Contohnya, Azmir setia terhadap Ani yang telah meninggalkannya setelah Ani    beranggapan bahawa Azmir gila.
3.         Kita mestilah bersikap baik hati kepada orang lain.
            Contohnya, doktor bersikap baik hati terhadap Azmir dengan membenarkan Azmir         bersiar-siar di kawasan hospital.
4.         Kita hendaklah menghargai jasa orang lain supaya orang tersebut tidak berasa      dipinggirkan.
            Contohnya, Azmir menghargai jasa-jasa petani, nelayan, dan buruh yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup.

5.         Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.     Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir walaupun anaknya itu dikatakan gila.

GERHANA MANUSIA - AMINAH MOKHTAR

SINOPSIS ( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

Cerpen ini memaparkan kisah seorang doktor yang mementingkan ganjaran material ketika merawat pesakit sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian nilai kemanusiaan. Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar memastikan semua pek darah yang ada di hospital tersebut hanya diberikan kepada Tuan Besar Musa yang menjadi penyumbang utama kepada jamuan tahunan kelab elit mereka.
     Nusia sedang memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang koma dan semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia memberitahu Doktor Murni berkaitan dengan bank darah yang sudah kehabisan stok tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia supaya menngebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu mendeerma darahnya kepada Tuan Besar Musa.
     Dalam keadaan dirinya yang seddang koma dan tenat itu, Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu lagi diselamatkan kerana dia hanya hidup bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut, bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak kelihatan menjenguknya. Doktor Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi itu. Menurut Nusia, harapan Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis dan arahan Profesor Doktor Juaidi supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu dianggap satu pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut sahaja arahan itu.
     Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit yang sedang koma serta menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Solehah tenat dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovary. Al-Hafiz pula ditimpa kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma dan tenat akibat didera, dan mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan bahawa selagi riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Junaidi, maka selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.
     Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek darah daripada hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis makan malam tahunan yang bernilai ratusan ribu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya.
     Nusia memberitahu bhawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin untuk menggantikan darah disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi yang tidak mahu memberikan darah tulen kepada Solehah. Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia mengenai status perempuan yang sedang koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya, Nusia akur dengan arahan Profesor Doktor Juaidi dan mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.
     Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek darah di dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual. Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah golongan minoriti di hospital itu. Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa yang koma serta memang tidak boleh diselamatkan. Walhal, hanya empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan mahasiswa yang berpenyakit leukemia itu dan setengah pek darah sahaja diperlukan untuk menghidupkan bayi buangan yang sedang koma.  
     Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih kembali. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk kegunaan Tuan Besar Musa. Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sebenarnya sudah mati kerana hanya adrenalin, dopamine, serta atropine yang masih merangsang denyutan jantungnya ketika itu. Juruteknik makmal darah itu termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko atas tindakannya itu.
     Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek darah itu dimasukkan ke dalam Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi.
     Profeser Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaa adrenalina,dopamine dan atropina . Namun demikian,Tuan Besar Musa yang sedang tenat dan koma itu gagal di selamatkan dan meninggal dunia . Profesor  Doktor Juaidi berasa tertekan kerana kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu .
     Doktor Murni datang dan memberikan surat peletakkan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Keadaan itu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan keputusan Doktor Murni itu . Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu .


PERWATAKAN
NUSIA
1.    Nusia ialah seorang jururawat yang bertugas di Wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital .
2.    Dia merupakan seorang yang akur akan perintah ketua.Contohnya,dia menurut arahan Profesor Doktor Juaidi supaya memberikan sebotol gelafundin kepada Solehah untuk menggantikan darah tulen.
3.    Nusia seorang yang penyayang,iaitu dia amat menyanyangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
4.    Nusia seorang yang bertanggungjawab.
Contohnya, dia berusaha untuk memberikan khidmat rawatan terhadap pesakitnya Tuan Besar Musa dengan penuh tanggungjawab .
5.    Dia seorang yang sangat bersimpati.
Contohnya,dia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah .

DOKTOR MURNI
1.  Doktor Murni merupakan pegawai perubatan muda di sebuah hospital .
2.  Dia bertugas merawat pesakit di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu .
3.    Doktor Murni mementingkan aspek kemanusiaan pesakit.
Contohnya, dia menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai doctor kerana tidak berpuas hati dengan kaedah rawatan untuk pesakit di hospital itu.
4.    Dia seorang yang prihatin dan bertanggungjawab .
Contohnya,dia memaklumkan kepada Profesor Doktor Juadi mengenai bekalan darah di bank hospital itu yang telah kehabisan stok .
5.    Dia bersifat tenang ketika merawat pesakit.
Contohnya,dia menasihati Nusia agar tidak terlalu emosional ketika merawat Tuan Besar Musa .

PROFESOR DOKTOR JUAIDI
1.  Profesor Doktor Juaidi merupakan pegawai perubatan senior di sebuah hospital.
2.  Dia merupakan ketua jabatan kepada Doktor Murni dan seorang jururawat,          Nusia.
3.  Profesor Doktor Juaidi sudah berumur, bermata bulat dan berkening lebat.
4.    Dia amat mementingkan ganjaran material daripada nilai kemanusiaan. Contohnya, dia berasa tertekan apabila Tuan Besar Musa meninggal dunia kerana kelab elit hospitalnya akan kehilangan tajaan berjumlah RM100 ribu.
5.  Dia seorang yang bijak dalam menyelesaikan masalah.
Contohnya, dia meminta Doktor Murni menghubungi hospital lain bagi mendapatkan bekalan darah tulen untuk mengisi tabung darah di hospitalnya yang kehabisan stok.

TUAN BESAR MUSA
1.    Tuan Besar Musa merupakan seorang elit korporat dan teknorat yang memiliki gedung perniagaan yang besar.
2.  Dia merupakan seorang dermawan.
3.  Tuan Besar Musa ialah seorang suami kepada wanita jelita yang tidak setia.
4.  Dia mempunyai sepasang anak yang menjadi penagih dadah berjenis heroin.
5.  Tuan Besar Musa mempunyai perut yang buncit.

NILAI
1.  Nilai kasih sayang.
Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
2.  Nilai belas kasihan.
Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.
3.  Nilai tanggungjawab.
Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab untuk merawat semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
4.  Nilai kebijaksanaan.
Contohnya, Profesor Doktor Juaidi bijak mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di bank darah, iaitu dengan mengarahkan Doktor Murni mendapatkan bekalan darah tersebut daripada hospital lain dengan segera.
5.  Nilai sayang akan nyawa.
Contohnya, Nusia mengatakan bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.

PENGAJARAN
1.    Kita mestilah bersifat penyayang sesama insan tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
2.    Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang.
Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.
3.    Kita perlulah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi. Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab merawat semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
4.    Kita hendaklah bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni menghubungi hospital lain untuk mendapatkan bekalan darah bagi mengisi tabung darah di hospital mereka yang kehabisan.
5.    Kita hendaklah bersedia menderma darah untuk menyelamatkan nyawa pesakit/insan yang memerlukannya.

Contohnya, Doktor Murni dan Nusia bermurah hati untuk menderma darah bagi menampung bekalan darah yang tidak mencukupi di bank darah hospital.

HIPERTENSI - ILLIAS ZAIDI

SINOPSIS ( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

Cerpen ini mengisahkan seorang pelajar bernama Aiman Aqil yang sangat meminati bidang penerokaan sains angkasa lepas. Cerita dimulakan dengan kisah Aiman yang berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang sudah tergondola akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian, cerita ini berkisarkan tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi oleh Aiman sepanjang perjalanan hidupnya. Aiman teringat kembali peristiwa Cikgu Faridah mengajarnya dan murid-murid sekelasnya yang lain berkaitan dengan Teori Graviiti yang dicetuskan oleh Isaac Newton dalam sesi pengajaran subjek Sains tersebut, berlaku perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai professor disebabkan kepintarannya dan dia mempunyai daya berfikir yang tinggi serta matang berbanding dengan rakan-rakannya yang lain.
            Aiman juga teringat akan kisah dirinya sebagai anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah, Aiman selalu menyindir adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Ketika menuntut di sekolah rendah, Aiman teringat akan perbuatannya yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelek dengan silibus sekolah rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik dan pintar pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyelesaikan latihan terutamanya bagi mata pelajaran Matematik. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelas. Guru kelas Aiman melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Ibu dan bapa Aiman berasa marah apabila mengetahui hal tersebut. Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehinggga lebam.
            Aiman telah ponteng kelas disebabkan lebam pada pinggulnya yang belum hilang. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia penerokaan Sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya itu, usianya pada waktu itu telah ditambah sepuluh tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya diandaikan sebagai tempat berlepas ke angkasa lepas dengan menggunakan sebuah kapal angkasa Soyuz. Sikap peliknya terhadap dunia penerokaan Sains angkasa lepas dengan menjadikan pohon kelapa dara sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh ibu dan bapanya. Kesudahannya, pinggul Aiman dirotan lagi oleh bapanya. Ibunya memprotes tindakan bapanya itu di dalam hati saja.
            Aiman semakin galak membayangkan dirinya sebagai seorang angkasa yang telah diberi peluang mengikuti latihan intensif di bawah program Aeroangkasa bersama-sama dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai seorang angkasawan yang mendarat di bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman berpendapat bahawa dia perlu membuat kajian saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum meneroka bulan. Seterusnya, daya imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia membayangkan dirinya berada di ruang udara angkasa bulan tanpa udara. dengan berpakaian lengkap sebagai seorang angkasawan, dia melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan bulan yang sebenar.
            Setelah Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan itu menyebabkan bapanya yang tegas dan kasar itu seringkali menampar Aiman yang masih kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam pertuturan, ibu dan bapa Aiman telah membawa Aiman untuk menjalani latihan intensif dan latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu kepada Ilahi. Aiman berasa bahawa ibu dan bapanya tidak perlu lagi membawanya untuk mengikuti latihan intensif dan latihan terapi itu. Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapan yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan mengharapnya ke hadrat Ilahi.




PERWATAKAN
AIMAN AQIL
1.         Aiman Aqil berumur hampir 20 tahun.
2.         Dia berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus dan       runcing.
3.    Dia merupakan anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaiut Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah .
4.    Aiman seorang yang bercakap gagap, iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu sebelum keluar kata-kata.
5.    Aiman mementingkan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
6.    Dia seorang murid yang pintar dalam pelajaran terutamanya dalam subjek Matematik dan Sains.

BAPA AIMAN
1.    Bapa Aiman mempunyai tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.         Dia bertugas sebagai seorang jurutera mekanikal.
3.         Dia dipanggil dengan gelaran “babah” oleh aiman dan anak-anaknya.
4.    Dia seorang yang bertanggungjawab dengan membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah.
5.    Dia seorang yang bengis dan garang, iaitu dia pernah menampar Aiman dan merotan Aiman kerana kedegilan dan kenakalan anaknya itu.
6.    Dia seorang yang penyayang, iaitu dia berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan terapi.



IBU AIMAN
1.         Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.         Ibu Aiman bertugas sebagai seorang saintis dalam bidang geologi.
3.         Dia seorang yang penyayang.
Contohnya, dia berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
4.         Dia seorang isteri yang taat dan patuh akan suami.
Contohnya, ibu Aiman tidak melawan apabila suaminya merotan Aiman.
5.    Dia seorang yang penyabar.
Contohnya, dia tetap bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman yang bersikap kontras dengan suaminya.

CIKGU FARIDAH
1.         Cikgu Faridah ialah guru Sains di sekolah Aiman.
2.         Dia seorang yang dedikasi.
Contohnya, dia menerangkan ilmu Teori Graviti secara bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
3.         Dia seorang yang cepat marah.
Contohnya, wajahnya segera berubah apabila Aiman mempertikaikan teori gravity yang diajarinya dengan kuasa Tuhan.
4.    Cikgu Faridah seorang yang bijak melihat potensi murid.
Contohnya, dia menggelar Aiman sebagai professor kerana kepintaran dan kecerdikan muridnya itu.

NILAI
1.   Nilai kasih sayang.
Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.  Nilai kebijaksanaan.
Contohnya, Aiman boleh menyelesaikan latihan Matematik murid tingkatan lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3.  Nilai belas kasihan/bersimpati.
Contohnya, ibu Aiman berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
4.  Nilai dedikasi.
Contohnya, Cikgu Faridah menerangkan ilmu Teori Graviti denga bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
5.  Nilai tanggungjawab.
Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.

  
PENGAJARAN
1.       Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita.
Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.    Kita hendaklah bijaksana  dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Contohnya, Aiman boleh menyelesaikan latihan matematik murid tingkatan lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3.    Kita mestilah dedikasi dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Cikgu Faridahmenerangkan ilmu Teori Graviti denga bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya
4.    Kita perlulah bertanggungjawab terhadap aspek kesihatan ahli keluarga. Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
5.       Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan masalah.

Contohnya, ibu Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman.

( Sumbangan Sy. Siti Hajar )