Khamis, 14 Mei 2015

CERPEN - JAKET KULIT KIJANG DARI ISTANBUL

JAKET  KULIT  KIJANG  DARI  ISTANBUL
( Maskiah Haji Masrom )
SINOPSIS
 
Mengisahkan Aku melancong ke negara Turki sambil mencari cenderahati untuk di bawa pulang ke Malaysia.Pelbagai barangan yang tersenarai untuk dibeli kepada rakan-rakan serta dirinya sendiri. Namun dirinya hanya tertarik dengan buku-buku berbanding barang-barang hiasan yang lain. Sejumlah wang telah disediakan dan diperuntukan untuk pembelian cenderahati tersebut serta sedikit wang kecemasan untuk dirinya.Beliau juga telah dinasihatkan oleh pemandu pelancong dan beberapa panduan serta pantang larang ketika berbelanja di Istanbul. Aku serta rakan-rakannya berasa sukar untuk  menawar harga barangan yang hendak dibeli kerana tiada tanda harga dipamerkan dan  harga barangan hanya akan diberitahu jika ditanya.
Melintasi sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin. Aku mengimbas  akan abangnya yang menunggang motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit, tentu tangan Abang Longnya itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki seakan dapat membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun Aku tidak berani mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya.
Hajah Normah dan dan Dr. Liza tertarik dengan harga jaket berwarna kuning keemasan yang dibeli oleh Haji Helmi dan isterinya dengan harga yang murah berbanding kedai-kedai lain. Aku tiada pilihan mengikut rakan-rakannya masuk ke kedai tersebut. Kedainya tidaklah begitu luas namun mampu menempatkan sepuluh orang pelanggan pada satu-satu masa dan mempunyai beratus-ratus helai jaket kulit beraneka warna dan rupa bergantungan kemas di dalam rak berhawa dingin. Aku dan rakannya dilayan mesra umpama selebriti. Pekedai tanpa putus asa memujuk Aku agar membeli jaket kulit kijang, namun Aku masih belum berniat untuk mencari pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadanya. Namun, kerana ingin mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, Aku cuba mengenakan jaket kulit tersebut. Aku tersentak dengan harga yang disebutkan kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli jaket kulit kijang yang lembut itu. Dua rakannya itu telah membayar harga jaket pilihan mereka. Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan tindakan Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Perjalanan melawat Egyptian Market, Aku didatangi seorang remaja kurus dan bercakap separuh berbisik menjual barangan Black market. Melewati rakan Aku, Kak Chah dan Shahmeem, lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja tersebut atas kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku. Rakan Aku, Shahmeem menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada Aku dengan harga AS$100. Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. Aku juga menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak jika koyak pula tidak dapat dijahit dengan benang. Jelas sekali Aku terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit.
Akhirnya  Aku berhasrat untuk menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu dan wang jualan akan didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang, sabagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya hidup yang penuh dengan kemodenan.
TEMA           
Pengalaman seorang pelancong yang suka melancong serta terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang yang tidak disengajakan demi menjaga hati dan kegembiraan penjual jaket, rakannya serta dirinya demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi demi kelangsungan kehidupan moden.
PERSOALAN
 
  1. Perasaan kasih dan sayang terhadap kehidupan haiwan-haiwan esotik.
Contoh:- Aku berasa kasihan terhadap haiwan kijang yang terpaksa menjadi korban kerana kulitnya.

  1. Sikap berbudi bahasa sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara.
Contoh:- Aku melahirkan kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan hati pekedai Turki itu.

  1. Kewajaran memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.
Contoh:- Pekedai Turki telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya.

  1. Kepandaian sikap puji memuji dalam kalangan masyarakat Turki.
Contoh:- Masyarakat Turki memang pandai memuji pelanggannya demi melariskan jualan.

  1. Kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan kewangan.
Contoh:- Aku telah membuat senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk dibawa pulang ke Malaysia.
PLOT
 
  1. Permulaan
Aku mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke negara Turki. Dengan berbekalkan AS$400 yang bersamaan dengan RM1,800.00, dia telah menyenaraikan barang-baang yang ingin dibeli. Antaranya, cenderamata untuk keluarga, untuk saudara-mara, kawan pejabat dan kenalan rapat, untuk pensyarah-pensyarahnya yang banyak membimbingnya semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan untuk dirinya sendiri, memadai membeli beberapa buah buku terbitan Turki.

  1. Perkembangan
Aku mengisahkan bagaimana dia terbeli jaket kulit kijang dari Istanbul pada hari kelima lawatannya ke Turki. Dia tidak berniat langsung untuk membeli jaket tersebut. Ahli rombongan dibenarkan pergi membeli-belah di Grand Bazaar yang terletak lebih kurang satu kilometer dari tempat penginapannya di Hotel Senator. Sebelum sampai di Istanbul, Aku telah melawat beberapa kawasan bersejarah di Bursa, Pamukkale, Konya, Cappadocia dan Bolu. Pada setiap persinggahan itu, Aku telah mendapatkan cenderamata yang popular dan unik.

  1. Klimaks
Aku disapa oleh seorang lelaki berbaju T merah, berjaket kulit hitam dan berwajah tampan dari sebuah kedai jaket kulit. Aku tertarik akan keramahannya. Aku juga terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin dan berhasrat untuk membelinya tetapi tidak berani kerana tidak mengetahui harganya dan takut akan ditipu oleh penjualnya. Walaubagaimanapun Aku akhirnya masuk ke kedai jaket kulit itu dan mencuba sehelai jaket kulit berwarna hitam, namun dia tidak berniat untuk jaket tersebut kerana harga yang ditawarkan diluar kemampuannya. Akhirnya berlaku perbalahan antara Aku dan pekedai Turki itu. Aku berasa tersentak dengan sikap pekedai Turki yang menghinanya dan aku juga berasa terkilan  kerana tertipu dengan layanan mersa yang telah diberikan oleh pekedai Turki itu.

  1. Peleraian
Sewaktu beratur untuk menaiki feri ke Selat Bhosporus, seorang lelaki tua telah meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di atas lengannya. Shahmeem menunjukkan minat untuk membeli jaket tersebut dan telah membayar sebanyak AS$120, namun apabila dicubanya, jaket itu bersaiz kecil lalu menjualkannya kepada Aku dengan mengurangkan AS$20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda terhutang budi. Aku tidak nampak praktikalnya jaket itu untuk kegunaan harian di Malaysia. Aku memandang jaket kulit kijang itu, lalu membayangkan kegembiraan kepada lelaki tua yang berjaya menjual jaket kepada Shahmeem, kegembiraan Shahmeem yang berjaya menjualkannya kepada Aku serta kegembiraan Aku kerana dapat menghangatkan badannya sepanjang perjalanan di Selat Bhosporus yang dingin. Akhirnya kegembiraannya itu ingin dikongsi dengan orang lain iaitu dengan berhasrat menjual jaket tersebut di kedai pakaian terpakai dan wang yang diperoleh didermakan kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup yang penuh kemodenan.

TEKNIK PLOT
 
  1. Imbas Muka
Contoh: Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ..

  1. Imbas Kembali
Contoh: Entah mengapa aku tiba-tiba teringat akan Abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja.

  1. Saspens
Contoh: Perbalahan antara aku dan pekedai Turki membuatkan aku ingin melangkah keluar tetapi dihalang oleh pekedai Turki dengan wajahnya yang kelihatan marah.


  1. Monolog
Contoh:  Aku terpaku seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada saat itu selain yang dapat menggembirakan Shahmeem?

  1. Dialog
Contoh:  “Dah beli, ke? Ok tak harganya? Tanya kak Chah.
              “Ok juga. Dah survey tiga, empat kedai. Kedai ni ok. Dapat harga
             AS$150 sat jaket,” terang Haji Helmi sambil menunjukkan beg
             plastiknya.
WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
Aku  ( Mas ) –
Seseorang yang :-
  1. Gemar membaca.
Aku gemar membaca kerana dia akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai yang menjual buku.

  1. Baik dan murah hati.
Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira.
  1. Berbudi bahasa.
Aku dengan sebaik mungkin berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli jaket kulit agar pekedai itu tidak berasa kecil hati.

  1. Tidak boros berbelanja.
Aku tidak terpengaruh dengan layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit kijang itu.

  1. Sayang akan haiwan.
Aku begitu menyayangi haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.

  1. Bersederhana apabila berbelanja.
Aku telah membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak melebihi perbelanjaan yang telah diperuntukan.
Watak Sampingan
Pekedai  Turki–
  1. Pemuda berkulit putih
  2. Mempunyai kumis. (misai)
  3. Fasih berbahasa inggeris.- Pekedai Turki berbahasa inggeris apabila berkomunikasi dengan pelanggan yang datang ke kedainya.
  4. Peramah dan mesra
Pekedai Turki kelihatan begitu peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
  1. Tidak berputus asa
Pekedai Turki tidak berputus asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
  1. Pandai mengambil hati
Pekedai Turki sangat pandai mengambil hati pelanggannya dengan memberikan kata-kata manis.
  1. Cepat marah
Pekedai Turki cepat naik amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupuan telah mencubanya.
Polis Turki –
  1. Lelaki dewasa
  2. Bertubuh tegap
  3. Berbaju T dan berseluar panjang
  4. Berwajah serius –
Polis Turki kelihatan serius ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap seorang remaja yang menjual barangan pasaran gelap.
Shahmeem –
  1. Kawan kepada Aku
  2. Mudah terpengaruh
Shahmeem terpengaruh dengan sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran gelap tanpa mengetahui ukuran saiznya.
  1. Murah hati
Shahmeem bermurah hati dengan  mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal pasaran gelap kepada Aku kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.

LATAR
 
Latar tempat.
  1. Hotel Senator – tempat penginapan aku dan rakan-rakannya ketika melancong di Turki.
  2. Grand Bazaar – Pusat membeli belah.
  3. Kedai menjual jaket kulit –
  4. tempat di mana aku terpaku ketika melihat sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin.
  5. Tempat  Haji Helmi dan isterinya, cikgu Juliah membeli empat helai jaket berwarna kuning keemasan.
  6. Tempat Aku mencuba jaket kulit kijang namun tidak jadi membelinya kerana dia tidak mempunyai wang yang mencukupi.

  1. Pigeon Valley – Aku bersedekah kepada pengait benang yang kesejukan.
  2. Gunung Bolu – Aku bersedekah kepada seorang kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta.
  3. Masjid Ulu – bersedekah kepada seorang lelaki yang cacat anggota.
  4. Masjid Biru – tempat Aku menunaikan solat jamak.
  5. Egyptian Market – tempat membeli belah yang mempunyai dataran burung merpati jinak.
  6. Terminal feri Selat Bhosporus – Shahmeem membeli jaket kulit hitam daripada lelaki tua di pasaran gelap dengan harga AS$120.

Latar masa
  1. Malam – Kak Chah teman sebilik Aku tidur awal kerana kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota bersejarah.
  2. Siang –
  3. Aku , Kak Chah dan Shahmeem berada di dalam kedai menjual jaket kulit.
  4. Semasa aku dan rakan-rakannya sedang beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus.
Latar masyarakat
  1. Masyarakat elit – Ahli rombongan yang terdiri daripada guru dan pensyarah.
  2. Masyarakat yang bekerjaya untuk menampung kehidupan seharian.
Encik Yuksel bekerja sebagai pemandu pelancong dan pekedai Turki yang menjual barangan kulit.
  1. Masyarakat yang tidak berkemampuan.
Wanita tua yang menjual makanan burung, remaja kurus dan lelaki tua yang menjual barangan pasaran gelap, dan pengemis –pengemis seperti pengait benang yang diberi sedekah oleh Aku, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
  1. Masyarakat yang suka melancong.
Aku serta 30 orang ahli rombongan telah melawat negara Turki.
  1. Masyarakat yang suka akan kemewahan.
Haji Helmi dan isterinya cikgu Juliah telah membeli sebanyak empat helai jaket kulit berwarna kuning keemasan dengan harga AS$150 sehelai.
  1. Masyarakat yang tidak menyayangi haiwan.
Seekor atau lebih daripada seekor kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit yang menjadi lambang pendewaan dan pemujaan diri.


GAYA BAHASA
 
  1. Kata ganda -
  2. cenderamata untuk pensyarah-pensyarah yang banyak berjasa membimbingku semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana;
  3. Aku bercadang untuk membelikan professor Siti Zainon, Dr Shaiful Bahri dan Dr Rosnah sesuatu yang boleh dijadikan kenang-kenangan.
  4. Matanya bercahaya-cahaya.

  1. Bahasa Asing –       a)         bahasa inggeris (“Hello lady! …. “ , “Please… “ )
  2.       bahasa Arab. – Assalamualaikum, solat jamak,  al- mathurat
  3. Sinkope –      ‘Eh, lawanya jaket tu! Macam yang kita tengok kat Grand Bazaar  semalam. Murah ke?”

NILAI

  1. Kegigihan – pekedai Turki begitu gigih dan tidak berputus asa meyakinkan pelanggannnya agar membeli barangan kulitnya.

  1. Keprihatinan – Aku begitu prihatin dengan pembunuhan haiwan kijang kerana kulitnya untuk dijadikan jaket.

  1. Berjimat cermat – Aku telah membuat senarai barangan yang perlu dibeli untuk dibawa pulang agar tidak melebihi perbelanjaan.
  2. Keikhlasan – Aku dengan ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang,  kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.

PENGAJARAN
 
  1. Kita haruslah bersikap berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan seharian maupun semasa melancong ke luar negara.
Contoh :- Cenderamata untuk keluarga : 29 helai baju T, 2 helai untuk keluarga Anim, masing-masing sehelai untuk Tahrir, Nadia dan Salleh.

  1. Kita hendaklah bersikap ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.
Contoh :- Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira serta ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang,  kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.

  1. Kita wajar mempunyai sikap gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai.
Contoh :- Pekedai Turki gigih memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya dengan harapan pelanggannya itu membeli barangannya.

  1. Kira patut bersikap prithatin terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus.
Contoh : Aku begitu prihatin terhadap haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.

CERPEN - MUNSYI

MUNSYI
Sinopsis
            Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.
            Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.
Tema
Semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga negara. 
Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.

Persoalan
  1. Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan
Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.

  1. Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara.
Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan
rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.

  1. Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya.
Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.

  1. Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya.
‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.

  1.  Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya.
Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

Plot
Permulaan
Cerpen dimulakan dengan kisah ‘saya’ tidak diizinkan oleh bondanya berhijrah ke kota kerana bimbang anaknya itu akan hanyut oleh arus hedonism dan modenisme yang melanda anak-anak muda di kota.

Perkembangan
  1. Bonda pernah bercerita pada ‘saya tentang system pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini.
  2. Setelah Negara merdeka, perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini.
  3. Ibu menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa , bangsa dan Negara ini.  ‘Saya’ juga membaca membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa ‘saya’
  4. Setelah bonda yakin dengan kemantapan diri ‘saya’ baharulah ‘saya’ dibenarkan berhijrah ke kota untuk membaiki taraf hidup saya.  ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi.
  5. Di Bandar ,’saya’ dapati anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai murni dan batas kehidupan.
  6. ‘Saya’ mendengar berita kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Klimaks
Aku sampai di perkampungan tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  Buku-buku pemberian bonda juga turut musnah dalam peristiwa itu tetapi Munsyi tidak ada di situ.

Peleraian
Berhari-hari aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

Teknik Penceritaan

  1. Dialog
“Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”
  1. Imbas kembali
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.
  1. Imbas muka.
Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.
  1. Pemerian.
Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. 
  1. Kejutan.
Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradiri yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.
  1. Saspens.
Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.


Watak dan Perwatakan

Watak utama

  1. ‘Saya’
    1. Seorang yang taat
‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
  1. Seorang yang amanah.
‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
  1. Seorang yang gemar membaca
‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
  1. Seorang yang tidak mudah putus asa
‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Watak sampingan

  1. Bonda ‘saya’
    1. Seorang yang berpengetahuan luas.
Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah air.
  1. Seorang yang bersifat patriotik.
Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara.
  1. Seorang yang amat memahami
Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.
  1. Munsyi
    1. Kawan lama bonda.
    2. Seorang yang cinta akan budaya Melayu
Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’.
  1. Seorang yang mengalu-alukan tetamu.
Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.

Latar

Latar masa
  1. Zaman pemerintahan penjajah
Penjajah telah memerintah negara menggunakan system pecah dan perintah.
  1. Zaman selepas merdeka
Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.

Latar tempat
  1. Di kampung
Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota
  1. Di kota
‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna.
  1. Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota
Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.
Latar masyarakat
  1. Masyarakat kampung.
‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung.
  1. Masyarakat remaja yang tinggal di bandar.
‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup.
  1. Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan.
Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.
  1. Masyarakat yang cekal dan berani.
Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

Gaya bahasa
  1. Kata ganda
Zaman- berzaman
  1. Metafora.
Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman
  1. Peribahasa.
Bahasa jiwa bangsa
  1. Simile
Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.
  1. Hiperbola
Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.

Nilai
  1. Patriotik.
Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama.
  1. Ketaatan.
‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
  1. Kegigihan
Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
  1.  Amanah.
‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

Pengajaran.
  1. Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu.
‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar
  1. Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
  1. Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan.
‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
  1. Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan.
‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.