Khamis, 4 Februari 2016

HIPERTENSI - ILLIAS ZAIDI

SINOPSIS ( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

Cerpen ini mengisahkan seorang pelajar bernama Aiman Aqil yang sangat meminati bidang penerokaan sains angkasa lepas. Cerita dimulakan dengan kisah Aiman yang berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang sudah tergondola akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian, cerita ini berkisarkan tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi oleh Aiman sepanjang perjalanan hidupnya. Aiman teringat kembali peristiwa Cikgu Faridah mengajarnya dan murid-murid sekelasnya yang lain berkaitan dengan Teori Graviiti yang dicetuskan oleh Isaac Newton dalam sesi pengajaran subjek Sains tersebut, berlaku perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai professor disebabkan kepintarannya dan dia mempunyai daya berfikir yang tinggi serta matang berbanding dengan rakan-rakannya yang lain.
            Aiman juga teringat akan kisah dirinya sebagai anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah, Aiman selalu menyindir adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Ketika menuntut di sekolah rendah, Aiman teringat akan perbuatannya yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelek dengan silibus sekolah rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik dan pintar pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyelesaikan latihan terutamanya bagi mata pelajaran Matematik. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelas. Guru kelas Aiman melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Ibu dan bapa Aiman berasa marah apabila mengetahui hal tersebut. Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehinggga lebam.
            Aiman telah ponteng kelas disebabkan lebam pada pinggulnya yang belum hilang. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia penerokaan Sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya itu, usianya pada waktu itu telah ditambah sepuluh tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya diandaikan sebagai tempat berlepas ke angkasa lepas dengan menggunakan sebuah kapal angkasa Soyuz. Sikap peliknya terhadap dunia penerokaan Sains angkasa lepas dengan menjadikan pohon kelapa dara sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh ibu dan bapanya. Kesudahannya, pinggul Aiman dirotan lagi oleh bapanya. Ibunya memprotes tindakan bapanya itu di dalam hati saja.
            Aiman semakin galak membayangkan dirinya sebagai seorang angkasa yang telah diberi peluang mengikuti latihan intensif di bawah program Aeroangkasa bersama-sama dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai seorang angkasawan yang mendarat di bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman berpendapat bahawa dia perlu membuat kajian saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum meneroka bulan. Seterusnya, daya imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia membayangkan dirinya berada di ruang udara angkasa bulan tanpa udara. dengan berpakaian lengkap sebagai seorang angkasawan, dia melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan bulan yang sebenar.
            Setelah Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan itu menyebabkan bapanya yang tegas dan kasar itu seringkali menampar Aiman yang masih kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam pertuturan, ibu dan bapa Aiman telah membawa Aiman untuk menjalani latihan intensif dan latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu kepada Ilahi. Aiman berasa bahawa ibu dan bapanya tidak perlu lagi membawanya untuk mengikuti latihan intensif dan latihan terapi itu. Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapan yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan mengharapnya ke hadrat Ilahi.




PERWATAKAN
AIMAN AQIL
1.         Aiman Aqil berumur hampir 20 tahun.
2.         Dia berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus dan       runcing.
3.    Dia merupakan anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaiut Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah .
4.    Aiman seorang yang bercakap gagap, iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu sebelum keluar kata-kata.
5.    Aiman mementingkan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
6.    Dia seorang murid yang pintar dalam pelajaran terutamanya dalam subjek Matematik dan Sains.

BAPA AIMAN
1.    Bapa Aiman mempunyai tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.         Dia bertugas sebagai seorang jurutera mekanikal.
3.         Dia dipanggil dengan gelaran “babah” oleh aiman dan anak-anaknya.
4.    Dia seorang yang bertanggungjawab dengan membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah.
5.    Dia seorang yang bengis dan garang, iaitu dia pernah menampar Aiman dan merotan Aiman kerana kedegilan dan kenakalan anaknya itu.
6.    Dia seorang yang penyayang, iaitu dia berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan terapi.



IBU AIMAN
1.         Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.         Ibu Aiman bertugas sebagai seorang saintis dalam bidang geologi.
3.         Dia seorang yang penyayang.
Contohnya, dia berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
4.         Dia seorang isteri yang taat dan patuh akan suami.
Contohnya, ibu Aiman tidak melawan apabila suaminya merotan Aiman.
5.    Dia seorang yang penyabar.
Contohnya, dia tetap bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman yang bersikap kontras dengan suaminya.

CIKGU FARIDAH
1.         Cikgu Faridah ialah guru Sains di sekolah Aiman.
2.         Dia seorang yang dedikasi.
Contohnya, dia menerangkan ilmu Teori Graviti secara bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
3.         Dia seorang yang cepat marah.
Contohnya, wajahnya segera berubah apabila Aiman mempertikaikan teori gravity yang diajarinya dengan kuasa Tuhan.
4.    Cikgu Faridah seorang yang bijak melihat potensi murid.
Contohnya, dia menggelar Aiman sebagai professor kerana kepintaran dan kecerdikan muridnya itu.

NILAI
1.   Nilai kasih sayang.
Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.  Nilai kebijaksanaan.
Contohnya, Aiman boleh menyelesaikan latihan Matematik murid tingkatan lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3.  Nilai belas kasihan/bersimpati.
Contohnya, ibu Aiman berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
4.  Nilai dedikasi.
Contohnya, Cikgu Faridah menerangkan ilmu Teori Graviti denga bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
5.  Nilai tanggungjawab.
Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.

  
PENGAJARAN
1.       Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita.
Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
2.    Kita hendaklah bijaksana  dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Contohnya, Aiman boleh menyelesaikan latihan matematik murid tingkatan lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3.    Kita mestilah dedikasi dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Cikgu Faridahmenerangkan ilmu Teori Graviti denga bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya
4.    Kita perlulah bertanggungjawab terhadap aspek kesihatan ahli keluarga. Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
5.       Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan masalah.

Contohnya, ibu Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman.

( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

10 ulasan: